Perjalanan dan perbuatan mencapai al-Ahsan salah satunya menerusi jalan mencela dan memuhasabah kekurangan diri. Dalam surah al-Qiyamah, Allah swt bersumpah dengan jiwa yang sentiasa mencela (an-nafs al-lawwamah). Az-Zamakhsyari dalam al-Kasysyaf karangannya menyatakan: “Bahawa yang dimahukan dengan an-nafs al-lawwamah ialah jiwa-jiwa orang beriman. Disifatkan dengan al-lawwamah kerana ia sangat banyak mencela pemiliknya (manusia) atas kekurangan dalam ketaqwaan dan ketaatan. Celaan itu dalam istilah lain dikenali sebagai al-muhasabah, celaannya berlaku dengan fikir dan bermonolog dengan diri sendiri. Berkata al-Hasan, tiada dilihat seseorang mukmin melainkan ia akan mencela dirinya atas apa yang telah terluput dan dia menyesali atas kejahatan – kenapa ia melakukannya – dan atas kebaikan – kenapa ia tidak menjadikannya banyak.”