kemana lagi aku luahkan segala yang terbuku dalam benak jika bukan di sini. terlalu lelah aku memikirkan akan wujud namamu dalam bayang sehari-hari, mengekor dan menghantui detik-detik senggang waktuku.
tunas telah bertumbuh lama. cuba aku cantas dan buangkan dalam ke laut kulzum beribu batu jauh. lalu aku puas mengingatkan diri agar tidak jatuh ke dalam jurang yang entah apa dasarnya.
tetapi apakah Tuhan telah merencanakan, setiap pertemuan punya alasan, dan perasaan tak mampu terkalahkan dengan waspada yang menahan aku dari tebing perakuan, ya, sesungguhnya telah wujud dingin seperti kali yang mengaliri tanah kontang, seperti angin berhembus lembut membelai wajah sang pencinta. tetapi ombak perasaan ini tak terdampar ke pantai pengharapan - kerana bukan impinya untuk jadi pelabuhan buatku.