AEGRI SOMNIA VANA.



Qurratu A'yun

مِنْ مُحِبَّكْ ألْف سَلامْ

insight | contact | gallery



17 August, 2016
◔ 1:50 am // ✎ 1 comment(s)
mimpi, dan mendaki lebih tinggi.



dua bulan lagi untuk menjejak kaki ke Tanah Jawa. risau hati andaikata tiba-tiba Tuhan tarik nikmat dan tak izinkan kepergian ini. sebenarnya aku sudah cukup lega. tugas yang dipikulkan kepadaku - biro hubungan antarabangsa hampir selesai. berbulan-bulan, hampir setahun mengirim permintaan ke mana-mana pusat pendidikan yang sudi menerima kunjungan kami. hajat asal ingin merasa sejuk negara orang dan melihat sendiri kuyu mata kanggaru. tidak kesampaian, sedangkan aku sudah puas berlari ke Le Meridien KL, bertemu empat mata dengan pegawai yang bertugas. ternyata kekangan lebih besar dari keinginan. kotak emel terus sepi dari kiriman. berhari-hari, sungguh-sungguh aku doakan, ya Tuhan, jika ini baik bagi kami, dan niat kami benar untuk kembara di bumi-Mu, sampaikan kami kepada tujuan kami

tidak lama datang emel dari seberang. Universitas Islam Indonesia mengirim balasan setuju. satu-satunya yang membalas positif kepada kiriman emel dan kertas kerja (daripada berbelas institusi yang cuba kami dekati). airmata mahu saja menitik, girang terlalu. dan tidak lama, Prince Songkla University, Thailand turut memberi reaksi positif. Allah, begitu pemurah sekali Kau jawab permintaan kami? Dan yang jadi bahan tawa, setelah menerima dua jemputan itu, Beijing Foreign Study University (BFSU) turut membalas emel. Sayang balasan itu tiba lambat, jika tidak pasti kami memilih ke sana. Syukur tetap syukur, inilah jalan yang diberi-Nya. Antara pengalaman manis bagiku adalah berinteraksi sendiri dengan Datuk Awang Sariyan, pengarah Kursi Pengajian Melayu di BFSU, selain gigih bertutur bahasa Inggeris dengan pegawai-pegawai dari The University of Melbourne dan Royal Melbourne Institute of Technology.

ada sebab untuk aku bangga dengan pasukan. pertama sekali betapa gentarnya aku akan amanah. program ini di peringkat awal kami gerakkan sendiri sepenuhnya, 20 orang rakan sekelas - daripada kosong ! nil. nada. zero. tiada bantuan pensyarah atau mana-mana staf. tiada tunjuk ajar senior. kertas kerja yang aku buat berpandukan internet. yang aku baiki berdikit-dikit hingga aku rasa puas. dalam hati terasa betapa mereka buta-buta percaya pada diriku untuk cuba mencari hos, dalam program berskala antarabangsa (ya lah, bahkan aku juga tak yakin pada diriku sendiri.. haha). usahaku hampir menemui jalan buntu, malahan aku sangat tersepit antara tugas-tugas sekretariat di kolej, mengajar kelas mingguan di bawah UM Cares dan Projek Iqra', kerja kuliah yang sangat suka aku tunda-tundakan, joli tidak berkesudahan (ehhh), kecamuk perasaan sendiri (ehhh) dan sebagainya. alhamdulillah, urusanku dipermudahkan, dengan sokongan tak berbelah bahagi pengarah dan timbalannya. tiptop hangpa dua. haha.

juga betapa aku banggakan usaha kami mencari dana sendiri melalui tabungan mingguan dan aktiviti jualan. apa saja yang tidak kami lakukan? berjual nasi bungkus di hujung minggu, bilik ke bilik, kolej ke kolej, jualan kerepek, air kotak, berjualan di program dan mana-mana event kolej dan universiti. ketika cafe APIUM ditutup kerana tamat kontrak, (di hujung-hujung semester waktu kritikal untuk pembentangan dan penghantaran tugasan), kami tetap berjualan, berpanas-panasan di belakang boot kereta, bersusah payah memasang khemah setiap pagi, membungkus lauk-pauk jualan, membancuh air dan banyak lagi. sebenarnya yang manis bukanlah saja keberhasilan kunjungan, bahkan usaha sebelumnya. maksud aku, bukannya aku tahu mengikat air bungkus sebelum ini, apatah lagi buka-tutup khemah. haram nak tahunya tuan-tuan puan-puan. muka terpaksa kami tebalkan untuk berjualan mengetuk pintu bilik demi bilik. serasa betul-betul dipraktikkan segala ilmu muamalat kami. hahaha. belum kukira akhowat yang hebat memasak, ikhwah yang pandai buat dadih dan sebagainya. 

waktu aku noktahkan tulisan ini, cukup aku katakan pada diri sendiri bahawa mimpi adalah kenyataan dengan yakin, mujahadah dan tentu sekali izin-Nya. bahawa yang tampak tinggi, masih dapat didaki. moga satu hari nanti mampu mencapai langit ! إن شاء الله