AEGRI SOMNIA VANA.



Qurratu A'yun

مِنْ مُحِبَّكْ ألْف سَلامْ

insight | contact | gallery



16 February, 2012
◔ 3:55 pm // ✎ 3 comment(s)
Epilog hamba ; tiang langit yang meretak


makar merayap di kaki tetiang langit .
bumi menangis takutkan zulmat .

selamanya bumi berselubung zulmat hitam kelam .
selamanya bumi diam dipijak malam .

Kalau selama ini matamu berat dibuka daripada pejaman , hari ini kau berada di posisi yang berbeza. Entah apa yang merasuk sampai riwet dan kacau fikiranmu bila terjaga disisi bonda dinihari tadi. Mustahil bukan? Bonda sudah arwah 30 tahun dulu. Mustahil lagi kerana kau kini lelaki dewasa 40-an , bukan kanak-kanak yang masih dikelek bonda kemana-mana. Bukan fizikal kanak-kanak seperti yang kau bangkit dinihari tadi. Kini kau perlahan-lahan mengalun bacaan ayatullah disisi bonda. Subuh itu bukan kau sahaja kaget, malahan bonda turut terkesima. "Umar ! kau semakin fasih nampaknya.. bonda yakin kau boleh saja mengkhatam 3 juz hari ini." luah bonda kekaguman. Kau diam. Dalam hati merajuk memikirkan bacaan lelaki 40-an lebih baik sedikit sahaja dari usia kecilmu. Matamu menyapa wajah mulus bonda. Hampir saja kau meraung menyatakan kerinduan kepadanya. Tapi kau yakin kau bukan berada di dimensi realitimu. Entah apa dimensi yang sedang kau tempuhi kala ini.

Usai talaqqi bersama bonda kau turun ke penanggah. Dalam ingatanmu samar-samar jadual rutin yang perlu dijalani. Kau dibekalkan bonda sedikit juadah sebelum bergerak ke madrasah. Satu sahaja madrasah di kampungmu ketika itu, semestinya madrasah islami. Terkesan perbualanmu dengan Gustav, Gustav mati-matian mempertahankan, "Muslim scholars were nothing except copycat-ers." Kau mengepal penumbuk menahan geram. Tetapi kau diam menampal senyum palsu , dalam kepala mengira-ngira prioriti Gustav sebagai klien. Memprovok Gustav ibaratnya mengambil risiko menyuap anak-anakmu dengan nasi berlauk kicap bukan Cajun Chicken seperti kebiasaan. Gustav menyambung lagi, institusi seperti Baitul Hikmah naungan Harun ar-Rasyid merupakan tempat para cendekiawan Islam menterjemah karya cendekiawan Barat , sebelum meniru (atau istilah khususnya plagiat) lalu menambah sedikit perasa di mana-mana dan sesuka hati mengakui karya itu ciptaan mereka. Kau diam menunduk, menggumam perlahan, "Rama-rama tiada berjijak di bumi." Gustav angkat muka, namun sesaat kemudian telefon bimbitnya bergetar. Gustav membelek, ternyata ada mesej penting dari Tuan Pengarah. Dia bingkas meninggalkan kamar perjumpaan dan membiarkan kau termangu sendiri. Ingatan itu membuatkan kau malu sendiri.

Oh, mengapa tidak kau balas tuduhan itu sebagai lelaki? Hanya saat ini, saat kau berada dalam tubuh kecilmu baharu semangat itu muncul. Mindamu pantas menyusun kepingan teka teki bergambar. Terbayang Imam Feisal Abdul Rauf yang ingin mendirikan Pusat Islam di Ground Zero. Terbayang Sarah Palin berkeras membantah, menyelar segala macam rasional yang dihampar dihadapan mata. Katanya tindakan itu akan mencalar kembali luka keluarga mangsa 11 September. Dunia melihat serangan itu dilakukan orang Islam tanpa melihat title terroris, yang mana, kaukira sesiapa yang berfikiran waras dapat membezakan kebenarannya. Keganasan tidak mengenal agama. Bahkan dalam diam ada keluarga muslim turut maut dalam tragedi itu. Kasihan, mereka memilih untuk berdiam diri untuk mengelakkan kecaman. Sungguh, Islam menjadi sasaran kemarahan semua ketika itu. Lalu kau cantumkan kepingan-kepingan itu menjadi punca Gustav dan berbillion lagi sekutunya memusuhi Islam, mereka dipengaruhi stigma Islamofobia. Sungguh sama sahaja ratusan tahun dahulu dengan abad ini. Mana mungkin bijak pandai Eropah, Rom dan Yunani mahu tunduk dengan nama-nama seperti Omar Khayyám, Zakaria ar-Razi atau Khawarizmi ? Pendek kata, mereka non-Muslim gerun malah prejudis dengan kekuasaan Islam. Mereka atau setepatnya sekutu-sekutu Gustav .

Perlahan kau memberi salam sebelum menaiki tangga madrasah. Kelihatan wajah-wajah yang lama tidak kautemui seperti si tinggi Hassan, kembarnya Hussin, jiranmu Musa serta beberapa orang lagi pelajar. Kau sekadar mengukir senyum dan duduk bersila di tempatmu. Meriba papan kalam serta pena. “Hey Umar, kausudah bersedia?” seseorang mencuitmu dari belakang. Kau menoleh. “Err, enta Hafizkah?” soalmu janggal. Dia terkejut. “Hafiz? Hafiz kan sudah berpindah ke kampung sebelah?” Kau menggelisah, membetulkan duduk. Alasan. Fikirkan alasan. Manusia pintar memberi alasan.“Ya, maafkan ana. Ana baru sedar, rupa enta seiras dengan Hafiz.” Dia mengangguk, kau menghela nafas lega. “Betullah, semalam si Helal pun berkata begitu. Kan Helal?” Disebelahnya Helal mengangguk setuju. “Ah, enta sudah sedia? Hari ini giliran enta dan Amran bermunazarah dihadapan kelas !” ujar Helal. Matanya bersinar-sinar teruja. Oh, ya… kanak-kanak dibelakangmu bernama Amran. Dan hari ini giliranmu bermunazarah dihadapan. Oh, sungguh menarik. Sungguh.

“Baratul  Istihlal , Allahumma salli ‘ala saidina Muhammad, wa ‘ala ali Muhammad~ anak-anak, hari ini ustaz ingin lihat bagaimana antum melihat keseimbangan kepentingan antara dunia dan akhirat. Sekarang ustaz persilakan akh Umar dan Amran untuk munazarah dihadapan..” Kau terpana sejenak. Apa jenis madrasah yang pernah kau hadiri? Sejenis tarekat sufikah? Tajuk saja sudah zuhud semacam. Apa agaknya yang akan Amran debatkan?

Amran: Ana fikirkan kalau prioriti dunia lebih sedikit dari akhirat, umat Islam jadi miskin. Miskin materi, kontang ilmu kerana meninggalkan sumber ilmu itu sendiri, yakni dua perkara tinggalan nabi, Al-Quran dan sunnahnya.

Umar: Anta menolak kepentingan dunia?

Amran: Tidak juga. Tapi ana rasa kepentingan dunia terletak dibelakang akhirat.

Umar: Katakan ibu enta gering, enta tida duit biaya untuk merawat, enta tiada pilihan selain bekerja dengan Tauke Hong di kedai sana. Padahal enta tahu Tauke Hong tidak membenarkan pekerjanya berhenti solat Jumaat. Enta pilih apa?

Amran: Tidak mungkin ana bekerja dengan Tauke Hong. Ibu ana akan lebih bahagia dengan jalan yang ana pilih.

Umar: Amran! Tanpa ibu, enta tidak dapat hidup hingga ke hari ini! Aduh, orang tua memang begitu. Mereka lebih suka memendamkan hasrat hati. Enta tidak mahu berkorban sedikit untuk ibu? Ana rasa sesekali kita perlu melihat dari sudut berbeza. Adakala kita perlu melebihkan dunia.

Amran: Dengan mengorbankan deen?

Umar: Uh, bagi ana ini sudah kira maslahah rajihah. Ini berkaitan dengan nyawa manusia bukan.. .ana tidak fikir Islam sebegitu syadid dan jumud. Ana sendiri tidak mahu keluarga ana menjadi mangsa kerana terlalu ekstrim dalam beragama. Ana rela mengambil rasuah daripada melihat anak-anak kelaparan.

Amran: Yang haram itu tetap haram Umar. Niat enta tidak menghalalkan cara. Mengapa dulu sewaktu baginda Nabi diseksa baginda tidak menyerah atas alasan maslahah? Nabi tidak pernah pula menyerah atas alasan nyawa baginda penting untuk terus hidup dan menyebarkan Islam. Nah, disini soalnya Umar. Enta terlupa manusia itu ada pilihan sama ada untuk berjuang atau pura-pura berjuang.

Umar: Pura-pura?

Amran: Erti perjuangan hidup bagi seorang mukmin adalah mematuhi syariat-Nya dalam segenap inci kehidupan. Andai mati kerana itu, syahid kiranya. Meninggalkan deen kerana maslahah sendiri atau kaum kerabat, munafik namanya. Ayatullah dalam Surah al-Munafiqun ; Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: "Kami mengakui, bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah". Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta(1) Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan(2)Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati; kerana itu mereka tidak dapat mengerti(3) (al-Munafiqun 63:1-3)
Enta pasti tindakan enta untuk melanggar syariat walau hanya kesalahan kecil itu tidak memesongkan enta? Sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan sukar untuk diubah. Andai ana tidak menunaikan solat Jumaat semasa bekerja dengan Tauke Hong, tidak mustahil ana akan memandang ringan kewajipan itu di lain waktu. Ana akan terbiasa untuk tidak menunaikannya. Lebih teruk andai ana menerima rasuah. Wang yang ana peroleh akan menjadi darah dan daging sehingga ana mati kelak. Usrah ana pasti akan dimurkai Allah.

Pang! Kau terasa mukamu merah menahan malu.

Umar: Err, ana tidak pasti, Amran. Mungkin ada perkara lain yang perlu dipertimbangkan..

“Sudah, cukup untuk kali ini. Ana mahu membuat kesimpulan” tegah Muallim Hadi lalu mematikan munazarah. Kau dan Amran beransur ke belakang. Muallim Hadi dengan raut tenang memulakan bicara, “Anak-anak, antum tahu dilema ini akan melanda ummah. Bukan sahaja hari ini, bahkan dari permulaan hingga ke akhirnya iaitu pada hari Kiamat. Itulah disebut-disebut baginda Nabi sebagai ghuraba’. Manusia yang mematuhi syariatullah akan menjadi orang asing, asing daripada kebiasaan zamannya. Seumpama orang dagang di tempat sendiri. Sebab? Semakin lama kita semakin terbiasa dengan peredaran zaman dan takut akan hilang maslahah sendiri. Biarpun begitu, kita masih ada pilihan sama ada untuk benar-benar berjuang di jalan lurus ke syurga atau memilih laluan berkelok-kelok ke neraka. Sungguh, bukan mudah menempuh jalan ke syurga. Pengorbanan bukan dilakukan kita seorang diri sebaliknya semua umat manusia. Itulah awal-awal lagi Rasulullah mengingatkan kita , ‘Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai aku melebihi ibu bapanya, anak-anaknya serta manusia seluruhnya’ Antum perlu membezakan pilihan itu membawa kebaikan atau keburukan kepada diri antum dan keluarga. Mulai hari ini, ana ingin antum meletakkan prioriti cinta.”

Seisi kelas madrasah berdengung dengan pertanyaan. Helal bingkas mengangkat tangan menyoal, “Bagaimana itu muallim??” Perlahan-lahan Muallim Hadi melakar rajah di papan tulis. Kau hanya memerhati lesu. Serasa baru kalah dalam medan jihadmu. Kalah dengan Amran, seorang kanak-kanak! Padanlah bumi al-Quds tak kontang pejuang. Mereka punyai tentera cilik dengan semangat waja dan thabat demi mempertahankan Islam. Muallim Hadi mula bersuara, “Lihat, letakkan Allah cinta pertama kita, kemudian Rasulullah, seterusnya cinta kepada jihad, yakni menghalang diri melakukan larangan serta mengikhlaskan hati melakukan suruhan Tuhan. Ringkasnya antum perlu menjaga dunia agar hanya berada dalam genggaman antum, bukan antum didalam genggamannya.” Muallim Hadi mengarahkan pandangan kepadamu. “Faham tu Umar?” Kau mengangguk sendu. Menahan air mata lelakimu daripada tumpah. Menyedari rupanya hidupmu sudah kontang dari tarbiyah. Sudah jauh dari jalan jihad. Kau, Umar, sudah menjadi tetiang langit yang meretak.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Tatkala pelupuk matamu mula bergenang air, susuk bonda kelihatan samar-samar. Rautnya lembut. Bonda berkata dengan nada memujuk, “Umar, tidak pernah ada manusia yang terlepas daripada kesalahan. Tiada bumi tidak ditimpa hujan. Bonda mendidikmu agar menjadi tiang langit yang kukuh, agar langit tidak menghempapmu. Agar bumi menghormatimu, kerana kelak pengakhiran kita semua adalah didalam perutnya. Selama ini kita berpijak diatas punggung bumi sesuka hati, di akhirnya bumi menjadi saksi kelakuan kita. Umar, dunia ibarat jelmaan perempuan yang diluarnya cantik jelita, walhal realitinya ia sudah tua. Bumi sudah tua Umar, tarikh luputnya semakin dekat…”  Kau mendekati, mengusap pipi tua bonda seraya mendengar alunan syahadatain beragaman di dimensi itu. Bonda menyambung lagi, “Sudah masanya Umar, untuk kau menjadi ulul albab.” “Apa ulul albab itu, bonda?” “Kau akan menemukannya sebanyak 16 tempat dalam al-Quran. Mereka adalah golongan yang mendapat pedoman daripada Allah, mampu membezakan antara yang haq dan batil. Mereka adalah pejuang dengan ilmu, bukan membabi buta menceburkan diri dalam kemusnahan. Mereka bukan teroris mahupun ekstremis, tetapi mereka adalah hamba yang berjihad dengan seluruh nafas hayatnya. Umar anakku, kau dicipta untuk tujuan itu!” Bonda menjauh, dan dimensi itu hilang dibawa nur.

nota kaki: hanyalah coretan diriku, hamba yang tidak pernah sempurna

Labels: , ,