“Futuwwah bererti jalan hidup para pejuang kerohanian (spiritual chivalry). Setiap pelaku yang meneladani jalan ini juga disebut Fata , yang secara harfiah bererti Pemuda yang elok (akhlaknya) dan gagah berani (dalam menegakkan kebenaran dan keadilan). Kata Fata, baik dalam bentuk tunggal ataupun jamak (fityah) hanya tersebut dalam al-Quran untuk menunjukkan anak muda yang berperlakuan baik.”
Ini hikayat kalian ; tujuh fityah dalam gua . Arghh tidak. Ada yang mengatakan tiga, yang keempat anjing kalian. Ada yang membilang lima, keenam itu anjing kalian walhal ada lagi yang membilang jumlah kalian tujuh, yang ke lapan anjing kalian. Katakanlah (Wahai Muhammad) Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka. Begitu tertera kalam Tuhan.
Sudah menjadi kebiasaan di Kota Ephesus yang gah itu, penduduknya menyambut satu perayaan gilang gemilang, di mana berhala dan patung-patung dihias indah. Mereka berdiri disekitar patung-patung itu dengan riang gembira, memuja-muja serta menyembahnya. Jahil? Tidak. Kejahilan hanyalah istilah bagi mereka yang tidak mengetahui kebenaran. Sedang mereka penduduk kota asalnya beriman kepada Dia yang Esa. Malang, kedatangan Raja Diqyanus yang kufur menyembah berhala memaksa rakyat menganut fahamannya. Maka ramailah yang menjadi lalang. Meliuk-liuk ditiup angin kufur. Dalam ramainya manusia yang tersesat itu, ternyata masih ada kalian, tujuh pemuda bangsawan masih enggan menuruti. Kalian menebarkan pandangan ke muka bumi yang luas, pada langit membiru, gunung ganang yang terbentuk, pohonan menghijau serta seluruh penghidupan yang dicipta pelbagai rupa. Sepakat kalian mengakui, pasti Dia yang mencipta dan menguasai. Dialah Tuhan, Dialah Allah. Lantas kalian bersumpah akan setia mentauhidkan Dia secara sembunyi, kerana bimbang keimanan ini dihalang raja negeri yang zalim. Biarlah hilang gelar bangsawan, itu bukan apa-apa kerana kalian ingin memilih jalan yang dilalui kekasih Allah.
Mengapa sampai 309 tahun ajaib kalian tidur didalam kahfi itu ? Tidak lain tidak bukan kerana Dia. Kalian berkumpul, bersembunyi dari Raja Diqyanus yang mengerahkan tentera-tenteranya untuk membunuh kalian. Hahaha! Ketakutan itu bukannya bertapak di hati kalian, bahkan Diqyanus kufur itu yang gentar. Takut benar dia. Takut benar akan pemuda-pemuda yang ingkar dari perintahnya malahan mengesakan Dia dan menolak ketuhanan berhala. Hujah kalian kepada Diqyanus ; "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya jika demikian kami telah mengucapkan perkataan yang jauh daripada kebenaran. Kaum kami telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kedustaan terhadap Allah?" (18:14-15) Raja Diqyanus tetap tegar mahu menentang kalian. Tempoh beberapa hari diberikan agar kalian merubah fikiran dan murtad dari aqidah yang kalian imani. Lari.... kalian berlari demi Iman yang harus dipertahan. Bukan gentar akan kematian tetapi gentar membelakangkan keesaan. Sudah ditetapkan destinasi ; bersembunyi di pergunungan bernama Nikhayus. Akhirnya, tibalah kalian disebuah gua untuk berehat dan berlindung. Usai mengurus diri, tertidurlah kalian dengan nyenyak.
Malam berganti siang, siang pun berganti malam, tahun berganti tahun dan abad berganti abad. Hujan malah ribut tidak mengganggu lena kalian. Dengan takdir Tuhan, sinar matahari menerjah pintu gua, menyinari terik sehingga kalian bertujuh terjaga. Aduh, lapar benar kalian rasakan. Salah seorang antara kalian bertanya, "Aku kira sudah lama benar kita tertidur di sini. Apa perkiraan kalian?" Yang lain menjawab "Mungkin sudah sehari semalam lamanya kita tertidur." Pemuda lain meningkah, "Ketika kita tidur masih pagi, sekarang matahari masih belum terbenam, ku kira baru setengah hari kita tertidur". Berkata pula pemuda keempat, "Tuhan saja yang mengetahuinya sahabat. Ah, apa pun perutku sudah lapar. Apa kata salah seorang daripada kita keluar ke pasar dan membeli sedikit penganan? Ini wangnya. Hati-hati jangan tertangkap."
Berangkatlah seorang pemuda kahfi bernama Tamlikha menuju ke kota. Bukan kepalang hairan Tamlikha melihat kota sudah berubah nuansa. Benar, itulah Kota Ephesus. Tetapi binaan di dalamnya sudah berubah. Malah orang yang lalu lalang pun tampak gharib baginya. Aneh. Fikirnya. Aneh. Ketika dia melangkah terpinga-pinga seorang lelaki datang mendekat. Tamlikha menjauh, khuatir dicekup askar upahan Diqyanus. Mujur lelaki itu hanya bertanyakan tujuan kedatangannya, dia menyangka Tamlikha adalah orang dagang yang baru pertama kali mngunjungi Kota Ephesus. Tamlikha itu menjawab , "Aku bukan orang asing, aku hanya ingin membeli sedikit penganan." Lelaki itu lalu membawanya ke pasar untuk mendapatkan penganan. Disaat Tamlikha membayar menggunakan wang perak kepunyaannya, si penjual dan lelaki tadi terpegun. Sunyi setagal. Dalam hati pemuda rusuh, khuatir tersalah laku. Penjual akhirnya bertanya , "Anak muda, bukankah ini matawang lama, matawang tiga abad yang lalu? Kau datang dari negeri asingkah?"
Orang ramai mula mengerumuni mereka. Masing-masing kelihatan teruja untuk mengetahui asal usul pemuda asing itu. Tamlikha menggeleng-geleng kepala. "Wang ini dipesan oleh rakanku untuk membeli penganan. Baru kelmarin aku menggunakan wang perak seperti ini buat berjual beli." Subhanallah! Sesudah Tamlikha bertukar-tukar kisah dengan orang ramai yang berkumpul, pujian-pujian kepada Tuhan beragaman dalam jiwa tiap-tiap penduduk yang berada di situ. Siapalah yang tidak pernah mendengar kisah tujuh pemuda yang lari daripada kepungan raja zalim. Kisah ini telah mahsyur diperkatakan oleh penduduk kota. Tercenganglah Tamlikha mendengarnya. Subhanallah. Kuasa Tuhan. Tetapi masih ada yang tidak mempercayai kekuasaan Tuhan. Tamlikha dibawa berjumpa raja atas tuduhan mencuri harta karun. Mujurlah Allah telah meletakkan keadilan di Kota Ephesus. Pemerintahnya kini raja yang soleh dan beriman. Tahulah kalian, daripada bukti-bukti yang dihamparkan di hadapan kalian, sudah tiga abad masihi lamanya kalian berada di dalam gua itu.
Kalian lalu bersujud dan berdoa agar Allah menurunkan rahmatNya dan mengizinkan kalian pulang ke
alam baqa'. Tidak lama sesudah mengucapkan doa itu kalian menghembuskan nafas yang terakhir dengan tenang. Duhai, tahukah kalian, akulah antara mereka yang beriman dengan hikayat kalian. Aku beriman dengan hikayatmu yang dibawa turun Jibril dari langit-Nya sebagai nasrullah kepada baginda Nabi menjawab persoalan seorang lelaki kafir. Tahukah, kalian telah menjadi asas futuwwah kepada pemuda dan pemudi yang beriman dengan Tuhan kalian. Dia, yang lebih dekat dari urat lehermu. Tahukah, kalian menjadi hikayat futuwwah (spiritual chivalry) tertulis dalam al-Furqan. Itulah kalian mengajar kami ilmu alam, lowongan masa (time hole) hanya dikuasai Dia bahkan pereputan jasad setelah tiga abad tidak berlaku, segala-galanya kerana Dia. Itulah kalian membuktikan , kun fayakun.
nota:
menurut para ulama 7 pemuda tersebut ialah
• Maksalmina
• Tamlikha
• Martunus
• Bainunus atau Nainunus
• Sarbunus
• Dzunuanus
• Kasyfitatanunus
serta seekor anjing bernama Qithmir. Terdapat khilaf dalam penentuan lokasi kahfi , wallahua'alam.
Kalau selama ini matamu berat dibuka daripada pejaman , hari ini kau berada
di posisi yang berbeza. Entah apa yang merasuk sampai riwet dan kacau fikiranmu
bila terjaga disisi bonda dinihari tadi. Mustahil bukan? Bonda sudah arwah 30
tahun dulu. Mustahil lagi kerana kau kini lelaki dewasa 40-an , bukan
kanak-kanak yang masih dikelek bonda kemana-mana. Bukan fizikal kanak-kanak
seperti yang kau bangkit dinihari tadi. Kini kau perlahan-lahan mengalun bacaan
ayatullah disisi bonda. Subuh itu bukan kau sahaja kaget, malahan bonda turut
terkesima. "Umar ! kau semakin fasih nampaknya.. bonda yakin kau boleh
saja mengkhatam 3 juz hari ini." luah bonda kekaguman. Kau diam. Dalam
hati merajuk memikirkan bacaan lelaki 40-an lebih baik sedikit sahaja dari usia
kecilmu. Matamu menyapa wajah mulus bonda. Hampir saja kau meraung menyatakan
kerinduan kepadanya. Tapi kau yakin kau bukan berada di dimensi realitimu.
Entah apa dimensi yang sedang kau tempuhi kala ini.
Usai talaqqi bersama bonda kau turun ke penanggah. Dalam ingatanmu
samar-samar jadual rutin yang perlu dijalani. Kau dibekalkan bonda sedikit
juadah sebelum bergerak ke madrasah. Satu sahaja madrasah di kampungmu ketika
itu, semestinya madrasah islami. Terkesan perbualanmu dengan Gustav, Gustav
mati-matian mempertahankan, "Muslim scholars were nothing except
copycat-ers." Kau mengepal penumbuk menahan geram. Tetapi kau diam
menampal senyum palsu , dalam kepala mengira-ngira prioriti Gustav sebagai
klien. Memprovok Gustav ibaratnya mengambil risiko menyuap anak-anakmu dengan
nasi berlauk kicap bukan Cajun Chicken seperti kebiasaan. Gustav
menyambung lagi, institusi seperti Baitul Hikmah naungan Harun ar-Rasyid
merupakan tempat para cendekiawan Islam menterjemah karya cendekiawan Barat ,
sebelum meniru (atau istilah khususnya plagiat) lalu menambah sedikit perasa di
mana-mana dan sesuka hati mengakui karya itu ciptaan mereka. Kau diam menunduk,
menggumam perlahan, "Rama-rama tiada berjijak di bumi." Gustav
angkat muka, namun sesaat kemudian telefon bimbitnya bergetar. Gustav membelek,
ternyata ada mesej penting dari Tuan Pengarah. Dia bingkas meninggalkan kamar
perjumpaan dan membiarkan kau termangu sendiri. Ingatan itu membuatkan kau malu
sendiri.
Oh, mengapa tidak kau balas tuduhan itu sebagai lelaki? Hanya saat ini, saat
kau berada dalam tubuh kecilmu baharu semangat itu muncul. Mindamu pantas
menyusun kepingan teka teki bergambar. Terbayang Imam Feisal Abdul Rauf yang
ingin mendirikan Pusat Islam di Ground Zero. Terbayang Sarah Palin berkeras
membantah, menyelar segala macam rasional yang dihampar dihadapan mata. Katanya
tindakan itu akan mencalar kembali luka keluarga mangsa 11 September. Dunia
melihat serangan itu dilakukan orang Islam tanpa melihat title terroris, yang mana, kaukira sesiapa yang berfikiran waras
dapat membezakan kebenarannya. Keganasan tidak mengenal agama. Bahkan dalam
diam ada keluarga muslim turut maut dalam tragedi itu. Kasihan, mereka memilih
untuk berdiam diri untuk mengelakkan kecaman. Sungguh, Islam menjadi sasaran
kemarahan semua ketika itu. Lalu kau cantumkan kepingan-kepingan itu menjadi
punca Gustav dan berbillion lagi sekutunya memusuhi Islam, mereka dipengaruhi
stigma Islamofobia. Sungguh sama sahaja ratusan tahun dahulu dengan abad ini.
Mana mungkin bijak pandai Eropah, Rom dan Yunani mahu tunduk dengan nama-nama
seperti Omar Khayyám, Zakaria ar-Razi
atau Khawarizmi ? Pendek kata, mereka non-Muslim
gerun malah prejudis dengan kekuasaan Islam. Mereka atau setepatnya
sekutu-sekutu Gustav .
Perlahan kau memberi salam sebelum menaiki tangga madrasah. Kelihatan
wajah-wajah yang lama tidak kautemui seperti si tinggi Hassan, kembarnya
Hussin, jiranmu Musa serta beberapa orang lagi pelajar. Kau sekadar mengukir
senyum dan duduk bersila di tempatmu. Meriba papan kalam serta pena. “Hey Umar,
kausudah bersedia?” seseorang mencuitmu dari belakang. Kau menoleh. “Err, enta
Hafizkah?” soalmu janggal. Dia terkejut. “Hafiz? Hafiz kan sudah berpindah ke
kampung sebelah?” Kau menggelisah, membetulkan duduk. Alasan. Fikirkan alasan.
Manusia pintar memberi alasan.“Ya, maafkan ana. Ana baru sedar, rupa enta
seiras dengan Hafiz.” Dia mengangguk, kau menghela nafas lega. “Betullah,
semalam si Helal pun berkata begitu. Kan Helal?” Disebelahnya Helal mengangguk
setuju. “Ah, enta sudah sedia? Hari ini giliran enta dan Amran bermunazarah
dihadapan kelas !” ujar Helal. Matanya bersinar-sinar teruja. Oh, ya…
kanak-kanak dibelakangmu bernama Amran. Dan hari ini giliranmu bermunazarah
dihadapan. Oh, sungguh menarik. Sungguh.
“Baratul Istihlal , Allahumma salli
‘ala saidina Muhammad, wa ‘ala ali Muhammad~ anak-anak, hari ini ustaz ingin
lihat bagaimana antum melihat keseimbangan kepentingan antara dunia dan
akhirat. Sekarang ustaz persilakan akh Umar dan Amran untuk munazarah
dihadapan..” Kau terpana sejenak. Apa jenis madrasah yang pernah kau hadiri?
Sejenis tarekat sufikah? Tajuk saja sudah zuhud semacam. Apa agaknya yang akan
Amran debatkan?
Amran: Ana fikirkan kalau prioriti dunia lebih sedikit dari akhirat, umat
Islam jadi miskin. Miskin materi, kontang ilmu kerana meninggalkan sumber ilmu
itu sendiri, yakni dua perkara tinggalan nabi, Al-Quran dan sunnahnya.
Umar: Anta menolak kepentingan dunia?
Amran: Tidak juga. Tapi ana rasa kepentingan dunia terletak dibelakang
akhirat.
Umar: Katakan ibu enta gering, enta tida duit biaya untuk merawat, enta
tiada pilihan selain bekerja dengan Tauke Hong di kedai sana. Padahal enta tahu
Tauke Hong tidak membenarkan pekerjanya berhenti solat Jumaat. Enta pilih apa?
Amran: Tidak mungkin ana bekerja dengan Tauke Hong. Ibu ana akan lebih
bahagia dengan jalan yang ana pilih.
Umar: Amran! Tanpa ibu, enta tidak dapat hidup hingga ke hari ini! Aduh,
orang tua memang begitu. Mereka lebih suka memendamkan hasrat hati. Enta tidak
mahu berkorban sedikit untuk ibu? Ana rasa sesekali kita perlu melihat dari sudut
berbeza. Adakala kita perlu melebihkan dunia.
Amran: Dengan mengorbankan deen?
Umar: Uh, bagi ana ini sudah kira maslahah rajihah. Ini berkaitan dengan
nyawa manusia bukan.. .ana tidak fikir Islam sebegitu syadid dan jumud. Ana
sendiri tidak mahu keluarga ana menjadi mangsa kerana terlalu ekstrim dalam
beragama. Ana rela mengambil rasuah daripada melihat anak-anak kelaparan.
Amran: Yang haram itu tetap haram Umar. Niat enta tidak menghalalkan cara.
Mengapa dulu sewaktu baginda Nabi diseksa baginda tidak menyerah atas alasan
maslahah? Nabi tidak pernah pula menyerah atas alasan nyawa baginda penting
untuk terus hidup dan menyebarkan Islam. Nah, disini soalnya Umar. Enta terlupa
manusia itu ada pilihan sama ada untuk berjuang atau pura-pura berjuang.
Umar: Pura-pura?
Amran: Erti perjuangan hidup bagi seorang mukmin adalah mematuhi syariat-Nya
dalam segenap inci kehidupan. Andai mati kerana itu, syahid kiranya.
Meninggalkan deen kerana maslahah sendiri atau kaum kerabat, munafik namanya.
Ayatullah dalam Surah al-Munafiqun ; Apabila
orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: "Kami mengakui, bahawa
sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah". Dan Allah mengetahui bahawa
sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahawa
sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta(1) Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai
perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat
buruklah apa yang telah mereka kerjakan(2)Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka telah
beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati; kerana
itu mereka tidak dapat mengerti(3) (al-Munafiqun 63:1-3)
Enta pasti tindakan enta untuk
melanggar syariat walau hanya kesalahan kecil itu tidak memesongkan enta?
Sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan sukar untuk diubah. Andai ana tidak
menunaikan solat Jumaat semasa bekerja dengan Tauke Hong, tidak mustahil ana
akan memandang ringan kewajipan itu di lain waktu. Ana akan terbiasa untuk
tidak menunaikannya. Lebih teruk andai ana menerima rasuah. Wang yang ana
peroleh akan menjadi darah dan daging sehingga ana mati kelak. Usrah ana pasti
akan dimurkai Allah.
Pang! Kau terasa mukamu merah
menahan malu.
Umar: Err, ana tidak pasti, Amran.
Mungkin ada perkara lain yang perlu dipertimbangkan..
“Sudah, cukup untuk kali ini. Ana
mahu membuat kesimpulan” tegah Muallim Hadi lalu mematikan munazarah. Kau dan
Amran beransur ke belakang. Muallim Hadi dengan raut tenang memulakan bicara,
“Anak-anak, antum tahu dilema ini akan melanda ummah. Bukan sahaja hari ini,
bahkan dari permulaan hingga ke akhirnya iaitu pada hari Kiamat. Itulah
disebut-disebut baginda Nabi sebagai ghuraba’. Manusia yang mematuhi
syariatullah akan menjadi orang asing, asing daripada kebiasaan zamannya.
Seumpama orang dagang di tempat sendiri. Sebab? Semakin lama kita semakin
terbiasa dengan peredaran zaman dan takut akan hilang maslahah sendiri. Biarpun
begitu, kita masih ada pilihan sama ada untuk benar-benar berjuang di jalan
lurus ke syurga atau memilih laluan berkelok-kelok ke neraka. Sungguh, bukan
mudah menempuh jalan ke syurga. Pengorbanan bukan dilakukan kita seorang diri
sebaliknya semua umat manusia. Itulah awal-awal lagi Rasulullah mengingatkan
kita , ‘Tidak sempurna iman seseorang
sehingga dia mencintai aku melebihi ibu bapanya, anak-anaknya serta manusia
seluruhnya’ Antum perlu membezakan pilihan itu membawa kebaikan atau
keburukan kepada diri antum dan keluarga. Mulai hari ini, ana ingin antum
meletakkan prioriti cinta.”
Seisi kelas madrasah berdengung
dengan pertanyaan. Helal bingkas mengangkat tangan menyoal, “Bagaimana itu
muallim??” Perlahan-lahan Muallim Hadi melakar rajah di papan tulis. Kau hanya
memerhati lesu. Serasa baru kalah dalam medan jihadmu. Kalah dengan Amran,
seorang kanak-kanak! Padanlah bumi al-Quds tak kontang pejuang. Mereka punyai
tentera cilik dengan semangat waja dan thabat demi mempertahankan Islam.
Muallim Hadi mula bersuara, “Lihat, letakkan Allah cinta pertama kita, kemudian
Rasulullah, seterusnya cinta kepada jihad, yakni menghalang diri melakukan larangan serta mengikhlaskan hati melakukan suruhan Tuhan. Ringkasnya antum perlu menjaga dunia agar hanya berada dalam genggaman antum,
bukan antum didalam genggamannya.” Muallim Hadi mengarahkan pandangan kepadamu.
“Faham tu Umar?” Kau mengangguk sendu. Menahan air mata lelakimu daripada
tumpah. Menyedari rupanya hidupmu sudah kontang dari tarbiyah. Sudah jauh dari
jalan jihad. Kau, Umar, sudah menjadi tetiang langit yang meretak.
Tatkala pelupuk matamu mula
bergenang air, susuk bonda kelihatan samar-samar. Rautnya lembut. Bonda berkata
dengan nada memujuk, “Umar, tidak pernah ada manusia yang terlepas
daripada kesalahan. Tiada bumi tidak ditimpa hujan. Bonda mendidikmu agar
menjadi tiang langit yang kukuh, agar langit tidak menghempapmu. Agar bumi
menghormatimu, kerana kelak pengakhiran kita semua adalah didalam perutnya.
Selama ini kita berpijak diatas punggung bumi sesuka hati, di akhirnya bumi
menjadi saksi kelakuan kita. Umar, dunia ibarat jelmaan perempuan yang
diluarnya cantik jelita, walhal realitinya ia sudah tua. Bumi sudah tua Umar,
tarikh luputnya semakin dekat…” Kau
mendekati, mengusap pipi tua bonda seraya mendengar alunan syahadatain
beragaman di dimensi itu. Bonda menyambung lagi, “Sudah masanya Umar, untuk kau
menjadi ulul albab.” “Apa ulul albab itu, bonda?” “Kau akan
menemukannya sebanyak 16 tempat dalam al-Quran. Mereka adalah golongan yang
mendapat pedoman daripada Allah, mampu membezakan antara yang haq dan batil.
Mereka adalah pejuang dengan ilmu, bukan membabi buta menceburkan diri dalam
kemusnahan. Mereka bukan teroris mahupun ekstremis, tetapi mereka adalah hamba
yang berjihad dengan seluruh nafas hayatnya. Umar anakku, kau dicipta untuk
tujuan itu!” Bonda menjauh, dan dimensi itu hilang dibawa nur.
nota kaki: hanyalah coretan diriku, hamba yang tidak pernah sempurna